Halaman

Kata-kata Aluan

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum dan salam sejahtera Cikgu ucapkan kepada semua anak-anak murid cikgu.

Bersyukur kita ke hadrat Ilahi dengan limpah kurniaNya, blog Kelab Cikgu Halim (K.C.H) berjaya diterbitkan. Cikgu mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat dalam pembikinan blog ini terutamanya kepada Abd Halim dan Izhar.

Dengan adanya Blog K.C.H ini, Cikgu berharap kesemua anak murid dapat mengikuti segala perkembangan dan aktiviti kelab dari semasa ke semasa. Selain itu juga, anak-anak murid sekalian dapat menambah ilmu pengetahuan berkaitan Seni Gayung Fatani melalui info-info yang diselitkan di dalam blog ini.

Di kesempatan ini juga, marilah kita bersama-sama membaca surah Al-Fatihah. Semoga terdapat pahala pada bacaan kita dan pahala tersebut kita sedekahkan kepada arwah Guru Utama kita Allahyarham Tuan Haji Anuar Abd Wahab A.M.N. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama mereka yang beriman. Al-Fatihah...amin, amin, amin Ya Rabbal Alamin...

Cikgu Halim bin Hamit
Guru Kanan
Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia
Caw Kuala Lumpur

11 April 2010

TAHUKAH ANDA? - Silat

Ilmu yang sama tetapi disebut dengan nama yang berbeza. Nama-nama lain silat yang patut anda tahu...

1) Semenanjung Tanah Melayu - Gayung atau Silat.

2) Sumatera - Silek atau Gayuang.

3) Jawa Barat - Penca atau Maempok.

4) Jawa Tengah dan Jawa Timur - Pencak.

5) Madura & Baween - Mancak.

6) Bali - Encak.

7) Dompu & Nusa Tenggara Barat - Mpaa Sila.

8) Bulungan & Kalimantan - Bermancek.

9) Bugis dan Sulawesi - Memencak.

10) Makasar - Akmencak.

11) Mindanao, Filipina - Basilat & Kali.

Rujuk:
1) Anuar Abdul Wahab, 2008. Silat: Sejarah Perkembangan Kurikulum Silat Melayu Tradisi dan Pembentukan Kurikulum Silat Malaysia Moden. Kajang: Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia.

TAHUKAH ANDA? - Bunga Silat

Beberapa fakta tentang Bunga Silat yang patut anda tahu:

1) Bunga Silat merupakan dasar dalam pelajaran silat itu sendiri kerana dalam pelajaran Bunga Silat terkandung pergerakan asas seperti Langkah, Kuda-kuda dan Limbai Tangan.

2) Bunga silat juga melatih ketahanan badan, regangan otot dan kawalan keseimbangan badan pesilat.

3) Secara tidak langsung, Bunga Silat memupuk sikap sabar dan teliti melalui kesempurnaan Bunga Silat yang dipamerkan oleh setiap pesilat.

4) Juga dikenali sebagai Bunga Sembah, Lela Sembah dan Sembah Lela.

5) Bunga Silat dilakukan pada sebelum dan selepas latihan sebagai tanda hormat kepada guru/jurulatih dan pertubuhan.

6) Boleh dilakukan dalam 3 aras iaitu aras tinggi, sederhana/biasa atau aras rendah.

7) Gayung Fatani mempunyai 6 jenis bunga yang berlainan mengikut tahap pelajaran/bengkung tetapi menerapkan asas yang sama dan dikembangkan mengikut peningkatan tahap/bengkung.

8) Pesilat yang sudah memakai bengkung hitam perlu mahir melakukan Bunga Silat dengan senjata seperti keris, parang, sabit, kerambit dan menggunakan 2 senjata yang sama atau berbeza.

10) Langkah bermaksud bergerak menggunakan satu atau kedua-dua kaki. Kuda-kuda bermakna kedudukan untuk menyerang atau beladiri manakala Limbai bermaksud pergerakkan tangan semasa bergerak.

11) Setiap pergerakan dalam Bunga mempunyai nama (7 asas pergerakan Bunga Silat-Peringkat 1 Bengkung Putih):

a) Pergerakan 1 - Langkah Serong, Kuda-kuda Serong, tangan kanan Limbai Rencong.

b) Pergerakan 2 - Langkah Tunjang, Kuda-kuda Serong, tangan kanan Limbai Kapit.

c) Pergerakan 3 - Langkah Terus, Kuda-kuda Terus, tangan kanan Limbai Empang dan tangan kiri Limbai Adang.

d) Pergerakan 4 - Langkah Undur, Kuda-kuda Kilas, tangan kanan Limbai Sangga tangan kiri Limbai Adang.

e) Pergerakan 5 - Langkah Ereng, Kuda-kuda Ereng, Limbai Lunjur.

f) Pergerakan 6 - Langkah Silang, Kuda-kuda Silang, Limbai Kacip.

g) Pergerakan 7 - Langkah Samping, Kuda-kuda Samping, Limbai Juak.


12) Kenapa Bunga Silat ada 7 Langkah?
Bunga Silat ada 7 Langkah kerana:
-Surah Al-Fatihah ada 7 ayat.
-Ada 7 petala bumi.
-Ada 7 petala langit.
- Dan sifat Allah ada 7. (Arwah Guru Utama PSGFM Tn. Hj. Anuar Abd Wahab A.M.N)

Rujuk:
1) Anuar Abdul Wahab, 2008. Silat: Sejarah Perkembangan Kurikulum Silat Melayu Tradisi dan Pembentukan Kurikulum Silat Malaysia Moden. Kajang: Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia.
2) Perbualan dengan Guru Utama PFGFM KL-Cikgu Halim Hamit.

Artikel oleh:Izhar Mat Isa.