Halaman

Kata-kata Aluan

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum dan salam sejahtera Cikgu ucapkan kepada semua anak-anak murid cikgu.

Bersyukur kita ke hadrat Ilahi dengan limpah kurniaNya, blog Kelab Cikgu Halim (K.C.H) berjaya diterbitkan. Cikgu mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat dalam pembikinan blog ini terutamanya kepada Abd Halim dan Izhar.

Dengan adanya Blog K.C.H ini, Cikgu berharap kesemua anak murid dapat mengikuti segala perkembangan dan aktiviti kelab dari semasa ke semasa. Selain itu juga, anak-anak murid sekalian dapat menambah ilmu pengetahuan berkaitan Seni Gayung Fatani melalui info-info yang diselitkan di dalam blog ini.

Di kesempatan ini juga, marilah kita bersama-sama membaca surah Al-Fatihah. Semoga terdapat pahala pada bacaan kita dan pahala tersebut kita sedekahkan kepada arwah Guru Utama kita Allahyarham Tuan Haji Anuar Abd Wahab A.M.N. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama mereka yang beriman. Al-Fatihah...amin, amin, amin Ya Rabbal Alamin...

Cikgu Halim bin Hamit
Guru Kanan
Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia
Caw Kuala Lumpur

14 Oktober 2009

ETIKA PEMAKAIAN ORANG MELAYU DAN KAITANNYA DENGAN SILAT

PENDAHULUAN


Sejak sekolah rendah lagi kita telah dipupuk berbangga dengan pakaian Melayu yang lebih dikenali sebagai Baju Kebangsaan yang terdiri daripada songkok, baju Melayu, seluar, samping dan kasut kaki di mana ianya diwajibkan pakai setiap hari Jumaat. Lebih meriah lagi apabila menjelang hari raya apabila kesemua orang lelaki Melayu bergaya dengan pakaian Baju Melayu yang bermacam warna, gaya dan fesyen. Namun, adakah Baju Melayu yang kita pakai itu lengkap dan sempurna? Terus terangnya, kedapatan sesetengah fesyen Baju Melayu yang ada sekarang sangat menjelekkan mata. Kelihatan lebih kepada seorang pemalas yang kononnya dia sangat begaya dan up to date.


ETIKA BERPAKAIAN


Jadi, apakah kaitannya pakaian dan silat? Sejak dahulu lagi, baju Melayu yang lengkap menjadi pakaian para pahlawan dan pendekar. Apakah baju Melayu yang lengkap itu? Terdapat talibun (puisi lama terdiri daripada 4, 16, 20 baris dan bersajak diakhirnya) yang menggariskan tatacara pemakaian baju Melayu lengkap seperti berikut:


Yang disebut pakaian lengkap

Pertama memakai destar

Kedua bercekak musang

Ketiga berkain samping

Keempat berseluar labuh

Kelima berkeris

Keenam berselempang

Ketujuh bengkung berpending

Kedelapan berkasut kaki

Kesembilan berkambil sirih

Kesepuluh bergelang berdokoh

Kesebelas bercincin

Kedua belas bersapu tangan


Talibun di atas menggambarkan etika berpakaian yang lengkap bagi lelaki Melayu pada zaman tradisi. Keris menunjukkan betapa pentingnya ilmu beladiri (silat) kerana keris bukan sekadar lambang tetapi digunakan sebagai senjata apabila perlu. Jadi, baju Melayu adalah pakaian yang sesuai untuk bersilat malah baju Melayu tidak lengkap jika tidak berkeris atau senjata. Ia umpama persediaan yang tidak lengkap. Namun pemakaian adalah berbeza mengikut tempat yang dituju tetapi keris tetap dibawa. Sebagai contoh, jika hendak ke masjid, bengkung berpending, gelang, cincin dan sapu tangan tidak perlu dipakai malah keris dipakai secara tersembunyi.


Kalau berbaju Teluk Belanga

Kain diikat dagang luar

Kepala berkopiah sahaja

Kain labuh samping ke keting

Kaki seluar bayang-bayangan

Keris di pinggang tidak nampak

Itu pakaian ke masjid

Atau bertandang ke sanak saudara



Jika ke majlis rasmi pula, etika bepakaian juga turut berbeza.


Kalau memakai Cekak Musang

Kain diikat dagang dalam

Kain labuh di bawah lutut

Pinggang memakai bengkung lebar

Keris terpampang sebelah kiri

Kepala memakai destar

Seluar labuh sampai keting

Itu pakaian raja-raja

Atau datuk atau panglima

Atau orang patut-patut

Atau orang berbangsa

Yang duduk di helat jamu

Atau majlis di ramai besar



Kedudukan keris pula menggambarkan status sosial pemakaianya.


Kalau memakai keris

Keris tersisip sebelah kiri

Keris beradat berlembaga

Kalau memakai keris terlentang

Itu tanda mencari lawan

Bagai ayam kokok bertendang

Bagai dubalang masuk gelanggang

Elok dipakai dalam hutan

Atau belayar tengah lautan

Untuk menjaga-jaga diri.

Kalau keris sampir terlangkup

Keris tidak mencari lawan

Dipakai dalam jamuan

Yang dipakai pergi bertandang.


Keris yang dipakai bukanlah simbol semata-mata. Cara pemakaian keris menggambarkan maksud pemakainya. Keris yang terlangkup menunjukkan pemakaiannya tidak berniat jahat atau sebagainya kerana posisi keris yang tidak bersedia untuk digunakan atau suasana yang tidak mencurigakan. Tetapi keris diterlentangkan dikatakan mencari lawan kerana posisi keris yang mudah dipegang dan dihunus untuk menikam.


KESIMPULAN


Berdasarkan kedangkalan ilmu penulis, apabila seserang memakai keris, semestinya dia perlu memiliki ilmu berkeris atau dengan kata lain dia perlulah seorang yang pandai silat. Jika tidak senjata makan tuan. Setiap pakaian yang dipakai ada tujuan yang tertentu. Sebagai contoh, bengkung lebar yang dipakai sepanjang 7 lilit bertujuan untuk mengelakkan diri dari ditikam dan ayat-ayat yang ditulis pada bengkung dijadikan azimat. Pending selain menguatkan ikatan bengkung, ia juga boleh digunakan sebagai senjata. Labuhan kaki di paras keting dan pemakaian samping hanya di paras lutut adalah bertujuan memudahkan gerakan apabila berlawan. Boleh dikatakan, orang Melayu boleh ‘berkata-kata’ melalui apa yang dipakai.


RUJUKAN


Abd Rahman Ismail, 2003. Seni Silat Melayu Sejarah Perkembangan dan Budaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.



OLEH

IZHAR BIN MAT ISA

20 OGOS 2009.

KEPUTUSAN PERTANDINGAN SILAT

KEJOHANAN PENCAK SILAT PIALA MENTERI BESAR NEGERI SEMBILAN & PIALA TIMBALAN NAIB CANSELOR (HEP & ALUMNI) UNIVERSITI MALAYA RAKAN WAJADIRI IPT DAN JEMPUTAN (PENDEKAR SE'ABAD 5) 2009

  1. Anjuran : Pertubuhan Silat Seni Gayong Universiti Malaya.
  2. Tempat : Auditorium Perdanasiswa, Universiti Malaya.
  3. Tarikh : 9 - 13 Oktober 2009.
  4. Keputusan Pertandingan : 2 Emas, 1 Perak dan 2 Gangsa.
Kategori Silat Olahraga
  • Putera C (Wafit) - Gangsa
  • Puteri B (Cikgu Mieza) - Emas
  • Puteru C (Cikgu Syazreen) - Gangsa
  • Puteri D (Cikgu Zua) - Emas
Kategori Silat Seni
  • Regu Puteri (Cikgu Zua, Cikgu Mieza, Cikgu Syazreen) - Perak
Cikgu Mieza juga telah dinobatkan sebagai Pesilat Puteri Terbaik bagi kejohanan tersebut.

Setinggi-tinggi tahniah kepada semua pesilat yang mengambil bahagian. Kepada yang berjaya jangan cepat berpuas hati dengan kemenangan yang dikecapi, kepada yang kalah pula jangan berputus asa dan jadikan pengalaman ini sebagai pemangkin kejayaan di masa akan datang.

Ucapan terima kasih kepada Cikgu Halim selaku jurulatih pasukan yang tidak jemu-jemu melatih kami sehingga memperoleh kejayaan.

Ucapan terima kasih juga kepada pesilat-pesilat lain yang telah hadir dalam memberi sokongan padu kepada mereka yang sedang berjuang (Cikgu Halim Abdullah, Cikgu Zura dan suami, Ustaz Rahim, Lotfi Postmen, Midi, Jef, Kak Ina, rakan-rakan seperjuangan dari UPNM dan lain-lain).

FATANI NUSA BAKTI

Laporan oleh: Izhar bin Mat Isa (Pengurus Pasukan)

Wajah-wajah pesilat Pasukan Kolej Teknologi YPC-iTWEB (kenapa pengurus xde dalam gambar ni???)


Dalam kebasahan..pesilat basah lencun di hari pendaftaran kerana terpaksa meredah hujan lebat (budak2 lelaki jelah sbb naik motor..huh)


Pasukan Regu Puteri KTYPC


Aktiviti meningkatkan moral 1 - main game kat Mid Valley sebelum mesyuarat pengurus



Aktiviti meningkatkan moral 2 - berjalan-jalan di Mid Valley