| Cikgu Halim berpakaian lengkap tradisi Gayung Fatani...berkain batik dan bertanjak belah mumbang | 
PENDAHULUAN
           
 Sejak sekolah rendah lagi kita telah dipupuk berbangga dengan pakaian 
Melayu yang lebih dikenali sebagai Baju Kebangsaan yang terdiri daripada
 songkok, baju Melayu, seluar, samping dan kasut kaki di mana ianya 
diwajibkan pakai setiap hari Jumaat.  Lebih meriah lagi apabila 
menjelang hari raya apabila kesemua orang lelaki Melayu bergaya dengan 
pakaian Baju Melayu yang bermacam warna, gaya dan fesyen.  Namun, adakah
 Baju Melayu yang kita pakai itu lengkap dan sempurna?  Terus terangnya,
 kedapatan sesetengah fesyen Baju Melayu yang ada sekarang sangat 
menjelekkan mata.  Kelihatan lebih kepada seorang pemalas yang kononnya 
dia sangat begaya dan up to date.
ETIKA BERPAKAIAN
           
 Jadi, apakah kaitannya pakaian dan silat?  Sejak dahulu lagi, baju 
Melayu yang lengkap menjadi pakaian para pahlawan dan pendekar.  Apakah 
baju Melayu yang lengkap itu?  Terdapat talibun (puisi lama terdiri 
daripada 4, 16, 20 baris dan bersajak diakhirnya) yang menggariskan 
tatacara pemakaian baju Melayu lengkap seperti berikut:
            Yang disebut pakaian lengkap
            Pertama memakai destar
            Kedua bercekak musang
            Ketiga berkain samping
            Keempat berseluar labuh
            Kelima berkeris
            Keenam berselempang
            Ketujuh bengkung berpending
            Kedelapan berkasut kaki
            Kesembilan berkambil sirih
            Kesepuluh bergelang berdokoh
            Kesebelas bercincin
            Kedua belas bersapu tangan
           
 Talibun di atas menggambarkan etika berpakaian yang lengkap bagi lelaki
 Melayu pada zaman tradisi.  Keris menunjukkan betapa pentingnya ilmu 
beladiri (silat) kerana keris bukan sekadar lambang tetapi digunakan 
sebagai senjata apabila perlu.  Jadi, baju Melayu adalah pakaian yang 
sesuai untuk bersilat malah baju Melayu tidak lengkap jika tidak 
berkeris atau senjata.  Ia umpama persediaan yang tidak lengkap.  Namun 
pemakaian adalah berbeza mengikut tempat yang dituju tetapi keris tetap 
dibawa.  Sebagai contoh, jika hendak ke masjid, bengkung berpending, 
gelang, cincin dan sapu tangan tidak perlu dipakai malah keris dipakai 
secara tersembunyi.
            Kalau berbaju Teluk Belanga
            Kain diikat dagang luar
            Kepala berkopiah sahaja
            Kain labuh samping ke keting
            Kaki seluar bayang-bayangan
            Keris di pinggang tidak nampak
            Itu pakaian ke masjid
            Atau bertandang ke sanak saudara
            Jika ke majlis rasmi pula, etika bepakaian juga turut berbeza.
            Kalau memakai Cekak Musang
            Kain diikat dagang dalam
            Kain labuh di bawah lutut
            Pinggang memakai bengkung lebar
            Keris terpampang sebelah kiri
            Kepala memakai destar
            Seluar labuh sampai keting
            Itu pakaian raja-raja
            Atau datuk atau panglima
            Atau orang patut-patut
            Atau orang berbangsa
            Yang duduk di helat jamu
            Atau majlis di ramai besar
            Kedudukan keris pula menggambarkan status sosial pemakaianya.
            Kalau memakai keris
            Keris tersisip sebelah kiri
            Keris beradat berlembaga
            Kalau memakai keris terlentang
            Itu tanda mencari lawan
            Bagai ayam kokok bertendang
            Bagai dubalang masuk gelanggang
            Elok dipakai dalam hutan
            Atau belayar tengah lautan
            Untuk menjaga-jaga diri.
            Kalau keris sampir terlangkup
            Keris tidak mencari lawan
            Dipakai dalam jamuan
            Yang dipakai pergi bertandang.
           
 Keris yang dipakai bukanlah simbol semata-mata.  Cara pemakaian keris 
menggambarkan maksud pemakainya.  Keris yang terlangkup menunjukkan 
pemakaiannya tidak berniat jahat atau sebagainya kerana posisi keris 
yang tidak bersedia untuk digunakan atau suasana yang tidak 
mencurigakan.  Tetapi keris diterlentangkan dikatakan mencari lawan 
kerana posisi keris yang mudah dipegang dan dihunus untuk menikam.
KESIMPULAN
           
 Berdasarkan kedangkalan ilmu penulis, apabila seseorang memakai keris, 
semestinya dia perlu memiliki ilmu berkeris atau dengan kata lain dia 
perlulah seorang yang pandai silat.  Jika tidak senjata makan tuan.  
Setiap pakaian yang dipakai ada tujuan yang tertentu.  Sebagai contoh, 
bengkung lebar yang dipakai sepanjang 7 lilit bertujuan untuk 
mengelakkan diri dari ditikam dan ayat-ayat yang ditulis pada bengkung 
dijadikan azimat.  Pending selain menguatkan ikatan bengkung, ia juga 
boleh digunakan sebagai senjata.  Labuhan kaki di paras keting dan 
pemakaian samping hanya di paras lutut adalah bertujuan memudahkan 
gerakan apabila berlawan.  Boleh dikatakan, orang Melayu boleh 
‘berkata-kata’ melalui apa yang dipakai.
RUJUKAN
            Abd Rahman Ismail, 2003.  Seni Silat Melayu Sejarah Perkembangan dan Budaya.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan