Halaman

Kata-kata Aluan

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum dan salam sejahtera Cikgu ucapkan kepada semua anak-anak murid cikgu.

Bersyukur kita ke hadrat Ilahi dengan limpah kurniaNya, blog Kelab Cikgu Halim (K.C.H) berjaya diterbitkan. Cikgu mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat dalam pembikinan blog ini terutamanya kepada Abd Halim dan Izhar.

Dengan adanya Blog K.C.H ini, Cikgu berharap kesemua anak murid dapat mengikuti segala perkembangan dan aktiviti kelab dari semasa ke semasa. Selain itu juga, anak-anak murid sekalian dapat menambah ilmu pengetahuan berkaitan Seni Gayung Fatani melalui info-info yang diselitkan di dalam blog ini.

Di kesempatan ini juga, marilah kita bersama-sama membaca surah Al-Fatihah. Semoga terdapat pahala pada bacaan kita dan pahala tersebut kita sedekahkan kepada arwah Guru Utama kita Allahyarham Tuan Haji Anuar Abd Wahab A.M.N. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama mereka yang beriman. Al-Fatihah...amin, amin, amin Ya Rabbal Alamin...

Cikgu Halim bin Hamit
Guru Kanan
Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia
Caw Kuala Lumpur

07 September 2009

Adat dan Perlambangan

Silat adalah seni beladiri rasmi bangsa melayu yang berteraskan adat seni budaya Melayu yang bersendikan syarak. Adat sebagai pemakin menuntut ilmu silat antaranya seperti adat buka gelanggang, adat bertamat, adat berguru, adat pesilat,adat guru, adat perguruan, adat berkawan, adat bersendirian dan lain-lain.

Di antara adat penting yang mesti diadakan dalam pendidikan silat tradisi gelanggang bangsal ialah adat membuka gelanggang dan adat bertamat.Di dalam kedua-dua acara tersebut terdapat alat-alat yang digunakan dalam istiadat atau upacara. Alatan tersebut mempunyai nilai dan perlambangan kehalusan budaya kepahlawanan Melayu.

Adat adalah peraturan, hukum atau lembaga yang lazimnya dipakai dan diamalkan sejak zaman dahulu kala melalui persetujuan sesuatu masyarakat sejak orang Melayu belum tahu menulis. Segala amalan dalam adat diingat dan diamalkan dengan yakin bagi menjaga keharmonian masyarakat.

Adat juga bermaksud kelaziman, kebiasaan atau lumrah misalnya adat api panas dan membakar, adat malas tidak berjaya dan jatuh pada tempat tinggi yang pada adatnya boleh menyebabkan kematian. Tetapi adat dan akal atas sebab akibat atau kelaziman tidak semestinya berlaku. Misalnya Nabi Ibrahim A.S. tidak terbakar dek api dan Sita Dewi yang yakin dengan kebenaran cintanya dalam hikayat Seri Rama tidak terbakar oleh api ketika ujian kesetiaan cintanya kepada Seri Rama.

Misalan lain, pada adatnya orang yang berusaha dan rajin akan berjaya kerana lumrahnya orang miskin dan gagal dalam hidup adalah mereka yang malas.Tetapi berlaku juga sebaliknya. Pengajaran tersebut menunjukkan usaha kadangkala tidak muafakat pada adat dan akal. Maknanya, usaha dan manusia semata-mata tidak memberikan bekas melainkan dengan izin Allah yang menciptakan sekalian alam, menjadikan segala yang zahir dan batin. Ini pegangan kepada manusia beragama Islam. Oleh itu, adat menyuruh seseorang itu berusaha dan berserah kemudiannya kepada takdir Allah.

Pada kesempatan ini, dua dari adat dalam silat yang akan dibicarakan adalah adat buka gelanggang dan adat bertamat kerana di dalamnya terdapat alatan yang memiliki nilai dan perlambangan yang memperlihatkan kekukuhan falsafah silat dalam sosio budayanya.

Dalam adat tersebut terdapat alatan yang biasanya akan diadakan atau digunakan pada setiap istiadat atau upacara silat seperti sirih pinang sepiak, sebiji limau, buyung tanah, sepotong kain putih dan pengkeras serta beberapa alatan lain seperti senjata(besi), sintuk dan daun pelepas.

Sirih sejenis daun dari pertumbuhan menjalar yang dijadikan makanan kudap waktu senggang yang mendatangkan cita rasa enak dan berkhasiat. Cara makan sireh secara ringkas iaitu pilih sehelai sireh yang segar, kapur sireh dan sekacip pinang. Mulakan dengan mengunyah sekacip pinang sambil jari manis tangan kanan mencalitkan sekapur sireh secukup rasa mengikut tulang atau urat sireh dari pangkal yang terbentang di tapak tangan kiri.

Sambil mencalit dibacakan doa atau mentera(jika perlu). Gulung sireh dan masukkan dalam mulut sambil merasakan keenakan sireh apabila ’kelat jatuh ke rengkung’ dan ’seri naik ke peroman’.

Orang zaman dahulu sentiasa membawakan sireh dalam uncang sireh untuk kudapan sendiri atau bersama rakan. Sireh ditanam menjadi junjung bersama pohon pinang berbaris menjadi hiasan kampung halaman. Pokok pinang kerap digambarkan dalam pantun kasih sayang seperti :-

Tanam pinang rapat-rapat,
Biar senang puyuh berlari,
Kupinang-pinang, pinang tak dapat,
Kupujuk-pujuk, kubawa lari.

Sirih adat tersusun dalam tepak sirih yang dibawa akan dibuka dan makan sirih terlebih dahulu sebelum membuka kata “sekapur sirih pembuka kata” untuk tujuan menjemput sanak saudara, sahabat dan taulan untuk tujuan kenduri kendara, meminang, berdamai dan sebagainya.

Sirih juga digunakan dalam perubatan tradisi kepawangan Melayu seperti untuk tujuan menawar penyakit, keteguran, jemput semangat, mengubat luka, sakit kulit dan sebagainya. Tidak ketinggalan sirih digunakan dalam upacara perhubungan dengan makhluk ghaib sama ada untuk memanggil, menyuruh, menghantar atau mengembalikan ke tempatnya yang asal agar tidak menganggu.

Walaupun sirih tidak mempunyai nilai tinggi dari aspek ekonomi, namun sirih tidak pernah ketinggalan kerana kedudukannya yang istimewa sebagai lambang perhubungan, persahabatan, kelembutan dan keayuan seorang gadis yang memiliki muka bujur sirih.

Tidak lengkap istiadat atau upacara silat tradisi tanpa sirih pinang. Sirih kerap dirakamkan dalam bentuk puisi pantun, gurindam, syair dan nyanyian seperti berikut :-
Sekapur sirih,sekapur sirih seulas pinang,
Diberi bekal,diberi bekal buat perangsang,
Biarlah gugur,biarlah gugur bertumpah darah,
Pantang pendekar,pantang pendekar di tengah gelanggang.
( Lagu Sekapur Sirih )

Adat “Buka Gelanggang” iaitu bermula dengan sekumpulan atau secara berseorangan pesilat yang berhasrat untuk menuntut ilmu silat dari seseorang guru atau perguruan. Pada hari yang ditetapkan mereka bertemu guru dengan membawa “sirih pinang sepiak” (satu simpulan daun sirih yang telah dikapur berserta pinang) bersama pengkeras mengikut kemampuan.

Dipendekkan cerita, proses awal ini disebut “meminang” guru iaitu mengikat persetiaan antara pesilat dengan guru. Melalui persetiaan itu, pesilat mestilah patuh kepada syarat yang ditetapkan dan guru sedia melapangkan masa selama tiga bulan sepuluh hari mengajar silat zahir dan batin pada setiap malam kecuali malam jumaat, hingga tamat.

Pengkeras ialah sesuatu barang sebagai pemberian, cenderahati, buah tangan atau hadiah untuk pengesahan belajar silat dan mewarisi ilmu perguruan tersebut. Pengkeras akan diberikan kepada guru sebagai pertukaran dengan ilmu yang diperturunkan kepada silat.

Guru silat akan menyampaikan ilmu secara ikhlas tanpa mengharap pembayaran. Oleh itu, pesilat sentiasa menolong dan memudahkan urusan harian guru agar guru melaksanakan tugas memperturunkan ilmu pada setiap malam. Hari ini keadaan kehidupan telah berbeza,maka pengkeras telah ditukar pada mata wang senilai yang dibayar sebagai yuran keahlian dan pengesahan belajar silat tujuannya memudahkan pesilat, perguruan, tanggungan, alatan dan sebagainya. Pengkeras bertamat silat digunakan urusan Ujian Penilaian Silat, Sijil Tamat Latihan dan lain – lain. ( Semua itu bergantung kepada perguruan tertentu )

Silat tradisi mengadakan upacara bertamat dengan “mandi pelimau” iaitu semua pesilat yang tamat akan dimandikan oleh guru di gelanggang silat. Pada hari berkenaan setiap pesilat membawa alatan seperti pengkeras, sebutir limau, sebuah buyung tanah dan sepotong kain putih sepanjang lina hasta.

Alatan lain seperti sirih pinang,sintuk,keris(besi dan daun pelepas disediakan bersama.
Upacara mandi pelimau dilakukan slepas semua pesilat diuji oleh pendekar-pendekar tua sebagai pengesahan dan diterima ke dalam golongan pendekar. Cara mandi pelimau iaitu semua pesilat berbaris dengan duduk hormat melutut dalam gelanggang silat.

Guru bersama pendekar-pendekar tua menjiruskan air dari buyung tanah yang bercampur limau yang telah dipotong oleh guru pada semua pesilat. Pesilat akan menyimpan air jirusan pertama dalam mulut sambil berniat. Apabila semua air buyung telah dijiruskan, maka guru akan memberi isyarat ‘lepas’ dan pesilat meniupkan air dari mulut ke depan dengan teruraunya daun pelepas di tangan guru. Seterusnya guru membaca doa selamat dan diaminkan oleh para pesilat. Semua buyung ditengkup, enam buluh gelanggang dan 12 bilah tongkat gelanggang diletakkan di tengah gelanggang.

Upacara bersurai, buyung dan kain putih menjadi pengkeras. Pada zaman dahulu, buyung tanah dan kain putih mempunyai nilai yang boleh ditukar dengan barangan lain.Biasanya kain putih dihadiahkan kepada para pendekar yang sama-sama dalam upacara bertamat.

Dalam upacara mandi pelimau terdapat alatan sebiji limau purut atau limau nipis.Limau akan di potong oleh guru dan dimasukkan ke dalam buyung tanah berisi air mandi pesilat.Buyung tanah iaitu buyung periuk atau periuk tanah yang diperbuat daripada tanah yang boleh menampung air minimum lima liter.

Buyung berisi air disusun di bahagian hadapan gelanggang silat. Kain putih daripada kapas sepanjang lima hasta atau sekapan. Alat-alat tersebut mempunyai nilai dan perlambangan sesuai dengan falsafah Sikap Pendekar iaitu silat berteraskan adat seni budaya Melayu bersendikan syarak.

Berikut diperturunkan secara ringkas nilai dan perlambangan pada alat tersebut.

Pertama Sirih – Sirih pinang sepiak dalam silat melambangkan unsur adat seperti mana sirih digunakan dalam adat istiadat sebagai pembuka kata sewaktu upacara peminangan, jemputan, perkahwinan, perhiasan dalam sosio budaya Melayu. Sirih digunakan waktu buka gelanggang sebagai lambang meminang guru dan waktu bertamat sebagai lambang hubungan baik antara pesilat dengan guru dan juga pendekar-pendekar tua yang sedia menantikan mereka.

Ketua mandi – Mandi pelimau yang dilakukan pada upacara penamat silat melambangkan kesempurnaan tuntutan ilmu silat. Di dalam masyarakat Melayu terdapat berbagai jenis mandi, mandi hadas, mandi doa selamar, nazar, mandi bunga, mandi betah sakit dan lain-lain. Mandi tersebut bertujuan menyucikan diri zahir dengan air yang diwangikan oleh buah-buahan atau bunga-bungaan.

Upacara mandi pelimau silat juga melambangkan kasih sayang guru kepada pesilat dengan memandikan dan mendoakan mereka.Mereka dimandikan dengan air dari buyung tanah yang airnya telah bercampur wangian limau purut untuk membersihkan diri. Dalam kata lain, pesilat datang bersih, dikembalikan kepada keluarga dan masyarakat sebagai insan berilmu yang bersih.

Alat-alat dan bahan seperti besi dan limau,buyung tanah dan air mempunyai asal-usulnya dan perlambangannya sendiri. Misalannya buyung tanah dan air sebagai lambang kejadian manusia daripada tanah, air dan angin.

Silat dianggap sebagai ilmu keduniaan iaitu ilmu yang sehubungan dengan keperluan dunia seperti mencari makanan, pakaian, tempat tinggal dan mempertahankan diri yang memerlukan ilmu,kemahiran, usaha dan ikhtiar.

Kain putih daripada kapas sepanjang lima hasta atau sekapan melambangkan ilmu kerohanian silat. Warna putih pada kain melambangkan amalan yang suci dan bersih selari dengan syarak. Orang-orang tua pernah menyebutkan ungkapan tuntutlah ilmu hingga ke liang lahad iaitu ilmu akhirat atau kerohanian dalam persilatan Melayu telah membentuk insan yang mengenal dirinya dan mengenal tuhan yang disembahnya.

Setinggi manapun ilmu, bagi pesilat bangsa Melayu, tidak mengubah dirinya sebagai hamba Allah yang akan berakhirkan dengan kematian. Daripada Allah sekaliannya datang, dengan izin Allah mereka menikmati erti kehidupan dan kepada Allah sekaliannya akan kembali. Maka ilmu untuk kembali kepada Allah menjadi penting disamping kesibukan menuntut ilmu dan urusan keduniaan.

Lambang kesempurnaan tuntutan ilmu dan amal pada hakikat dan makrifahnya diumpamakan seseorang itu telah dimandikan, dikapankan, disembahyangkan dan ditanamkan.

Pesilat atau seseorang yang menuntut ilmu dan riadah kerohanian terlebih dahulu membersihkan diri zahir dan batin dengan melakukan mandi taubat dan diikuti solat taubat. Dikapankan dan disembahyangkan seperti yang pernah di sebutkan, “matikan dirimu sebelum mati yang sebenarnya dan sembahyanglah kamu sebelum kamu disembanhyangkan”.

Disembahyangkan melambangkan guru mengajar ilmu syariat dan hakikat seperti feqah, tauhid dan tasawuf yang wajib fardhu ain. Dikapankan melambangkan ilmu menghadapi jalan-jalan terakhir di dunia.

Ditanamkam bukan bermakna ditanam dalam tanah hidup-hidup tetapi berusaha mendidik hati yang zalim yang dapat memupuk iman, ikhsan, zuhud, taqwa dan tawakal kepada Allah yang Maha Esa dan “Somad” untuk menjalani murakabah, mukabalah, mujahadah dan musyahadah kepada Allah sepanjang masa.

Dari keterangan di atas, memperlihatkan adat yang diamalkan di dalam silat mempunyai nilai dan perlambangan sesuai beladiri beradat. Maka setiap amalan dan peralatan yang digunakan dalam adat istiadat dan upacara mempunyai makna dan falsafah serta makna yang memperkukuhkan nilai dan perlambangan dalam budaya kepahlawanan Melayu.

Mengikut adatnya, tidak sebarang orang boleh menerima sirih pinang, pengkeras, melaksanakan mandi perlimau dan menerima kain putih sekapan. Penerimaan membawa makna pengesahan tuntutan ilmu silat pada zahir dan batin atau amalan dunia dan akhirat.

Makna, seseorang menerima sirih pinang mestilah berupaya melaksanakan janji atau memperturunkan ilmu persilatan atau yang sehubungan dengannya hingga tamat.

Pesilat yang telah tamat semua ilmu silat dengan sempurna layak mandi perlimau kerana selepas perlimau pesilat boleh bersilat, bersukan dan berdikari serta bertangungjawab terhadap ilmunya.

Pemberian kain putih sekapan merupakan lambang tamat ilmu kerohanian silat.Tidak boleh menerima kain putih sekapan selagi pesilat belum tamat dalam ilmu kerohanian tersebut.
Dapat disimpulkan bahawa silat tidak boleh diajarkan sebarangan orang, melainkan kepada guru-guru yang benar-benar layak kerana silat merupakan institusi pendidikan tradisi yang lengkap pada adat,ilmu silat dan kerohanian.

Saudara Azlan Ghanie (penerbit majalah SENI BELADIRI) berharap agar ada pihak dapat melihat perjalanan, perjuangan dan pengorbanan para guru silat, khususnya di Malaysia. Contohilah langkah-langkah mereka sebelum seseorang menjadi guru silat, mereka begitu gigih menuntut ilmu dan menimba pengalaman dari beberapa orang guru dan pelbagai jenis aliran perguruan, “Sebelum seseorang itu menjadi guru,tanya berapa telah ditemui? Jika menemui guru tua tanyalah, berapa guru telah dituntut? Andai tanya seorang pendita, berapa guru untuk mengetahui, memahami dan menghayati satu gerak. Jawapannya,1000 guru pun belum pasti” (AZLAN GHANI, SB/Oktober/2007)

Petikan di atas terdapat tiga persoalan iaitu pertama, sebelum seseorang menjadi guru silat mestilah menemui beberapa orang guru. Kedua,seorang guru tua telah menuntut dari beberapa orang guru. Ketiga,seorang pendita pula akan berguru agar dia dapat mengetahui, memahami, menghayati satu gerak silat.

Persoalan tersebut memperlihatkan seseorang yang hendak menjadi guru, guru tua atau pendita silat harus belajar dan menuntut dari sebanyak mungkin guru. Pandangan ini memang benar kerana kebanyakan perguruan silat terhasil daripada gabungan, campuran atau panduan dari beberapa perguruan jenis silat, Pencak Silat, seni beladiri hatta dari seni mempertahankan diri luar.

Dalam beberapa siri SB terdapat perguruan silat yang mengandungi lebih dari sepuluh aliran perguruan. Dalam pada itu, terdapat juga perguruan yang hanya tinggal tari, gendang silat, amalan kebatinan atau beberapa buah pukulan sahaja.

Persoalannya mengapa keadaan tersebut boleh terjadi? Jawapannya ialah kebanyakan perguruan silat yang ada hari ini tidak bersifat lengkap dan ada di antaranya di reka cipta sesuai dengan keperluan beladri dan pertandingan pencak silat.

Perguruan yang tidak lengkap seperti inilah yang menyebabkan pesilat perlu mempelajari beberapa perguruan silat untuk melengkapkan dirinya dengan ilmu dan pengalaman sebelum menjadi guru atau membuka poerguruan baru.

Sesuailah dengan jawapan saudara Azlan Ghanie iaitu dalam seribu orang guru silat belum pasti menguasai ilmu yang lengkap.

Di Malaysia hanya ada terdapat empat ratus perguruan silat, maka jadi mustahillah terdapat seorang guru yang pasti lengkap. Akibat pengaruh aktiviti seperti pertandingan Pencak Silat dan di rasuk oleh pertandingan beladiri yang melagakan manusia seperti laga ayam dan laga kerbau telah mencacatkan kemurnian silat.

Keadaan ini telah berlaku kepada Taekwando seperti kata Grandmaster Lee (SB Julai 2007, m/s17) bahawa sebahagian daripada seni dalam seni beladiri Teakwando telah meninggal jauh perkara yang sebenar dalam taekwando yang hilang akibat sukannya yang popular secara mendadak…

Kesimpulannya nilai dan perlambangan dalam silat memperlihatkan silat sebagai seni beladiri beradat dan mencerminkan kehalusan adab dalam seni budaya kepahlawanan Melayu. Oleh itu pendidikan silat memerlukan guru silat yang dapat memperturunkan ilmu beserta hikmatnya.

Oleh :
Tuan Haji Anuar Abd Wahab AMN

Tarikh Dikeluarkan :
2007-11-24 21:03:07.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan